Pendekatan baru INNO BIO dalam perkhidmatan biopembuatan dan pengkomersilan produk biologik dapat sokongan MOSTI DAN KKM

posted in: MoU, News, Press Release | 0
mosti-moh-visit
Visit by Deputy Minister of MOSTI, YB Datuk Dr. Abu Bakar Bin Mohamad Diah and Deputy Minister of Health, YB Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya to Inno Biologics’ Biopharmaceutical Facilities.

 

PUTRA NILAI, 26 MEI 2014 – Inno Biologics Sdn. Bhd. (Inno Bio) mengorak langkah ke hadapan dengan pendekatan baru untuk perkhidmatan biopembuatan dan memberi fokus tambahan untuk bergiat dalam pengkomersilan produk biologik.
Produk biologik ini adalah lebih efektif daripada kaedah kemoterapi yang menggunakan sinar radiasi. Seperti yang kita sedia maklum, sinar radiasi memusnahkan sel-sel kanser. Malangnya, ia juga memusnahkan sel-sel yang normal disekelilingnya.
Jelaslah, produk biologik adalah lebih sesuai untuk perubatan kanser. Walau bagaimanapun kosnya adalah tinggi. Oleh yang demikian, Inno Bio mengambil keputusan untuk memberi fokus tambahan untuk pengkomersilan produk biologik bagi membantu negara menangani cabaran ini.
Sedar akan kepentingan ubatan biologik ini kepada industri dan negara,Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bekerjasama dan menyusun strategi untuk membantu dan memastikan Inno Bio mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Lawatan kerja ke Inno Bio oleh Timbalan Menteri MOSTI, YB Datuk Dr. Abu Bakar Bin Mohamad Diah dan Timbalan Menteri KKM, YB Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya telah membuka peluang kerjasama strategik ini bagi penghasilan ubatan biologik yang bukan sahaja selamat dan efektif malah dengan harga yang berpatutan.
“Fokus utama Inno Bio kini ialah memberi penekanan kepada pembangunan dan pengkomersilan ubatan biosimilar dan anti kanser sejajar dengan permintaan pasaran Malaysia serta global,” kata Y.Bhg. Datuk Dr. Ahmed Tasir Lope Pihie, Ketua Pegawai Eksekutif, Inno Bio Ventures Sdn. Bhd.
“Inno Bio telah mengenalpasti beberapa rakan strategik yang telah berjaya membangunkan produk biosimilar ini di negara mereka seperti Korea, India, Iran dan benua Eropah untuk bekerjasama dengan Inno Bio. Dalam kerjasama strategik itu, Inno Bio bertanggungjawab untuk pendaftaran dan pengkomersilan produk-produk tersebut. Jika perlu dibuat semula kajian klinikal, kami bersedia,” tambah Ahmed Tasir.
INNO BIO DIJADIKAN ASET SEKURITI BIOFARMASEUTIKAL NEGARA
Ubatan berasaskan bioteknologi diramal untuk mendominasi kaedah rawatan di masa akan datang. Secara global, ia menyumbang 10–15% daripada keseluruhan longgokan ubatan yang ada dipasaran dan sektor ini mendahului sektor-sektor lainnya dari segi pertumbuhan prestasinya. (Espicom, 2009).
Terdapat jurang yang amat besar terhadap akses kepada ubatan biologik ini memandangkan faktor kosnya yang tinggi. Ia adalah isu global yang perlu ditangani dengan segera agar rakyat berpeluang mendapat rawatan terbaik bagi penyakit–penyakit kronik seperti kanser, buah pinggang dan sebagainya. Pada tahun 2012, anggaran perolehan ubatan biologik oleh kerajaan Malaysia ialah sebanyak RM200 juta. Harga ubatan biologik ini dapat dikawal dan boleh ditawarkan pada harga 30%-40% lebih murah daripada harga pasaran semasa jika ianya dapat dihasilkan di dalam
negara. (Generics and Biosimilars Initiative 2012)

“Sudah tepat pada masanya untuk Malaysia mengorak langkah ke hadapan dalam memulakan program pembangunan ubatan biologik melalui platform Aset Sekuriti Biofarmaseutikal Negara. Ia sebagai langkah strategik negara jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti peperangan, pandemic penularan wabak penyakit kronik, embargo dan sekatan ekonomi ataupun atas sebab–sebab lain yang boleh mendatangkan implikasi yang amat buruk terhadap pembekalan ubatan negara,” kata Timbalan Menteri MOSTI, YB Datuk Dr. Abu Bakar Bin Mohamad Diah semasa lawatan beliau ke fasiliti biofarmaseutikal Inno Biologics di Putra Nilai, hari ini.

“Dengan adanya fasiliti seperti Inno Biologics seandainya digazetkan sebagai Aset Sekuriti Biofarmaseutikal Negara, ia dapat memainkan peranan kritikal untuk pembekalan berterusan keperluan life saving essential drug kepada rakyat. Saya yakin Inno Biologics dengan kerjasama dan sokongan semua pihak yang terlibat bersedia menyahut cabaran untuk menjadi salah satu aset strategik negara untuk sektor biofarmaseutikal”, kata Abu Bakar.
“Kementerian Kesihatan Malaysia komited untuk memastikan rakyat mendapat ubatan berkualiti dengan harga yang berpatutan. Pihak Kementerian juga akan terus menyokong syarikat Malaysia yang ingin mengeluarkan ubat-ubat generic yang berkualiti tinggi dan harga yang murah. Dengan harga yang rendah ini, lebih ramai rakyat dan pesakit boleh diubati,” kata Timbalan Menteri KKM, YB Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya.
Helmi menambah lagi, “Kementerian tidak akan terlalu bergantung kepada ubatan import lagi. Subsidi ubat pun dapat dikurangkan. Pastinya pengaliran
keluar wang negara dapat dikurangkan dan disalurkan untuk aktiviti pembangunan yang lain.”
Universiti-universiti di Malaysia melahirkan ribuan graduan dalam bidang bioteknologi setiap tahun. Oleh itu, pihak kerajaan dan swasta perlulah berusaha untuk menjana peluang-peluang pekerjaan. Justeru, adalah penting bagi negara untuk memastikan Inno Bio ini berdaya maju dan terus mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.
“Dengan program sebegini, negara bakal melahirkan tenaga kerja pakar terdiri daripada saintis dan jurutera sekaligus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kapabiliti di dalam penghasilan ubatan biologik. Inno Bio bersama dengan industri-industri teknologi tinggi lain sememangnya harus diketengahkan dalam memacu aspirasi kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 nanti,” kata Abu Bakar.

-TAMAT-

Untuk maklumat lanjut mengenai Inno Biologics, sila layari
www.innobiologics.com.

Inno Biologics Sdn Bhd ialah sebuah syarikat pengilangan kontrak (contract manufacturing) bioteknologi berasaskan sel mamalia yang berkeupayaan untuk menghasilkan produk biofarmaseutikal yang bukan sahaja selamat dan efektif malah dengan harga yang berpatutan.
Inno Biologics merupakan anak syarikat Inno Bio Ventures Sdn Bhd, syarikat yang diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan, telah ditubuhkan pada tahun 2002 dan di bawah kawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Penubuhan Inno Biologics adalah sebagai penggalak kepada perkembangan industri bioteknologi Negara yang menepati inspirasi kerajaan untuk menjadikan bioteknologi sebagai salah satu penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Penubuhannya juga adalah selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara yang dilancarkan pada 2005 yang antara lainnya menekankan pembangunan penjagaan kesihatan bioteknologi, pembangunan bioteknologi perindustrian, penyelidikan dan pembangunan serta pemerolehan teknologi dan pembangunan modal insan.
Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat:
Nur Asma’ Ahmad Safyan, Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat,
Inno Bio Ventures Sdn. Bhd.
Tel: +603-7996661 | HP: +6013-3051777
Email: nurasma.safyan@innobioventures.com